Wednesday, October 28, 2009

Kancing baju atau lebih dikenali dengan panggilan kerongsang yang digunakan semasa memakai baju kebaya labuh atau kebaya pendek sudah terkenal di kalangan orang Melayu, Portugis, Nyonya peranakan dan juga kaum Ceti di Melaka sejak berkurun-kurun yang lalu. Beberapa biji kerongsang dipakai untuk mencantumkan baju mereka supaya tidak terdedah. Kerongsang ini dipakai dalam bentuk set tiga biji yang seragam bentuknya atau berlainan tetapi yang seragam motifnya iaitu dua biji bulat sama besar dan satu lagi kerongsang ibu yang berbentuk hati yang disematkan di bahagian atas sekali.
Kerongsang-kerongsang yang ada jelas menunjukkan bahawa ia terdiri daripada pelbagai rekabentuk yang sukar diulas satu persatu. Ada juga di antara kerongsang ini bersambung atau berangkai di antara satu sama lain dengan rantai yang dijalin. Tujuannya ialah semata-mata untuk memastikan supaya ia tidak bercerai atau tercicir apabila dipakai. Satu lagi keistimewaan kerongsang yang seumpama ini ialah ia dapat memaparkan keindahan senireka tukang-tukang ernas zaman dahulu yang unggul dan halus. Ada pula kerongsang yang bertatah permata yang beraneka warna. Semuanya dapat menambahkan seri pada pakaian tradisional seperti baju kebaya.
Sungguhpun Malaysia tidak mempunyai batu-batu permata yang bermutu tinggi tetapi ini tidak pula menjadi halangan kepada para pencipta menghasilkan sesuatu ciptaan yang unggul dan menarik. Bahan-bahan ini sebenarnya sentiasa dibawa masuk oleh pedagang-pedagang yang datang berniaga di sepanjang pantai Semenanjung tanpa batasan. Kemudahan ini terus diperoleh kerana raja-raja, para pembesar dan rakyat jelata sentiasa mengagumi keindahan batu-batu permata yang dibawa masuk itu.
Terdapat beberapa perbezaan dari segi rekabentuk kerongsang di antara satu kaum dengan satu kaum yang lain. Kerongsang yang dipakai oleh Nyonya peranakan dapat dikenali dengan mudah; lazimnya kerongsang-kerongsang mereka dihiasi batu permata di sekeliling bulatan atau di sekeliling bahagian tepi kerongsang ibu yang berbentuk hati. Pengukir dan tukang-tukang emas Cina juga tidak pernah ketinggalan rnenggunakan motif burung, kupu-kupu, jenis-jenis kerang dan sebagainya dalam menghiasi kerongsang. Bentuk ini berbeza sekali dengan rnotif dalam pertukangan emas Melayu; agama Islam melarang umatnya menerapkan gambar atau ukiran bernyawa seperti ini dalam sebarang reka-corak.

Kebanyakan kerongsang orang Melayu, yang dapat diselamatkan, dengan motif daun dan bunga ataupun bulan sabit berbintang tengah sahaja. Ini telah menjadi identiti seni pertukangan emas Melayu di pantai timur dan di seluruh Semenanjung amnya. Manakala bagi kaum Ceti pula, mereka lebih meminati kerongsang yang bertatah batu permata yang berwarna-warni.
Pada masa sekarang kaum wanita moden, tanpa mengira bangsa, telah rnengubahsuai kerongsang lama dan dapat dipakai sebagai satu bahan hiasan yang dipinkan kepada baju moden ataupun dilekatkan di sudut sebelah kiri baju kot. Kerongsang juga adakalanya digunakan oleh pengantin lelaki untuk menghiasi songkoknya.
Sumber dipetik dari http://malaysiana.pnm.my/ , buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk "Barang Kemas Melayu Tradisi" oleh Mohd Kassim Haji Ali.